Thursday 14 March 2013

Ibnu Haytam & Fotografi


Ibnu Haytam & Fotografi

Beliau adalah seorang berketurunan Iraq yang lahir di Basra pada tahun 965 masihi. Beliau dikenali di zamannya sebagai cendikiawan Islam tersohor dan oleh saintis sedunia sebagai bapa optik moden.

Apa yang menarik tentang beliau ialah sumbangannya terhadap kajian optik yang mana ratusan tahun selepas itu menjadi asas kepada fotografi. Dalam kitabnya berkenaan kajian optik, Ibnu Haytam telah menggariskan beberapa teori dan eksperimen tentang sifat cahaya seperti kesan biasan dan pantulan. Ratusan tahun sebelum kelahiran saintis terkemuka Sir Isaac Newton, Ibnu Haytam telah menulis tentang sifat cahaya yang hanya bergerak dalam garis lurus dan mempunyai ciri-ciri zarah. Bahkan Kitab Optik (Al-Manazir) tulisan beliau telah diletakkan sama taraf dengan karya agung Sir Isaac Newton, Philosophiae Naturalis Principia Mathematica, kerana sumbangannya yang sangat besar kepada asas fizik sedunia.

Fotografi terbit daripada ciptaan kamera lubang jarum. Sesiapa yang pernah mempelajari teori berkenaan kamera lubang jarum tentu jelas tentang sifat imej yang terbentuk- lebih kecil dan terbalik secara vertikal. Ciri-ciri ini telah dijelaskan dengan kaedah saintifik  oleh Ibnu Haytam yang mana membolehkan pengiraan jitu dilakukan untuk membuat lensa yang sesuai. Walaupun kemungkinan besar beliau tidak pernah terfikir bahawa imej tersebut satu hari nanti dapat diabadikan sebagai foto, kerja asas untuk mencipta kamera telah dihuraikan dalam tulisan beliau.

Sepanjang hayat beliau dipercayai telah menulis lebih 200 buku namun kebanyakannya telah musnah. Sebahagian besar buku yang selamat hanyalah salinan yang telah dialih bahasa ke Latin dan Hebrew (Yahudi) ketika Perang Salib.

Oleh Amir Ridhwan untuk fototeacher.com


Wednesday 13 March 2013

Rahsia Fotografi dan Pembancuh Kopi

Gambar hiasan - Kedai Kopi Din Tokyo, salah sebuah kedai kopi yang terkenal di Kota Bharu, Kelantan
Rahsia perniagaan atau trade secret adalah satu cabang ilmu yang amat sukar diperolehi. Seseorang jurufoto akan menyimpan rahsia ilmu tertentu agar dirinya boleh terus bersaing dalam perniagaan fotografi yang diceburi. Walaupun ilmu ini dirahsiakan, anda tetap boleh mendapatkannya dengan cara belajar dari ramai orang jurufoto.

Saya teringat sebuah kisah yang diceritakan oleh arwah datuk saya. Kisahnya mengenai seorang pemuda bernama Ali yang ingin membuka sebuah kedai kopi. Beliau ingin belajar cara membuat kopi yang sedap. Tetapi, tidak ada sesiapa yang ingin mengajar dan mendedahkan rahsia bancuhan kopi yang sedap itu.

Demi untuk mendapatkan rahsia ini, Ali telah bekerja di Kedai Kopi Abu. Abu membancuh kopi dengan memasukkan mentega dan 2 bahan rahsia ke dalam kopinya. Kopi Abu memang sedap. Tapi, 2 bahan rahsia itu tetap menjadi misteri.

Setelah beberapa lama bekerja di Kedai Kopi Abu, Ali bekerja di Kedai Kopi Kasim pula. Kopi Kassim pun memang sedap. Ali perhatikan Kassim memasukkan kapur dan dua bahan rahsia lain dalam kopinya. Sekarang, Ali telah dapat tahu, 2 bahan penting dalam bancuhan kopi adalah mentega dan kapur!

Akhir sekali, Ali telah bekerja dengan Kedai Kopi Mamat. Mamat juga tidak mendedahkan rahsia cara membuat kopi yang sedap. Tetapi, Ali dapat melihat, Mamat memasukkan garam bersama 2 bahan rahsia di dalam kopinya. Kini, Ali telah mendapat tahu ketiga-tiga bahan rahsia dalam bancuhan kopi yang sedap!

Pengajaran dari cerita diatas? Bekerjalah dengan beberapa orang jurufoto. Setiap jurufoto mungkin akan menyembunyikan rahsia tertentu. Kalau pun dia tidak berniat untuk merahsiakan ilmu tertentu, setiap orang jurufoto mempunyai kelemahan dan kelebihan yang tersendiri dalam ilmu yang mereka miliki. Jika anda bekerja dan belajar dari ramai jurufoto, anda akan dapat berbagai jenis ilmu dan kepakaran dari ‘guru-guru’ anda ini!

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM



Monday 11 March 2013

Potret di Lokasi Luar


Gambar ini saya rakam di sebuah sungai di Kuala Selangor. Gambar ini tidaklah sehebat mana. Namun, di sini, saya ingin kongsikan sedikit cerita di sebalik pembikinan gambar ini.

Sebenarnya, saya tidak dapat 100% apa yang saya inginkan dari sesi fotografi ini. Namun, inilah gambar terbaik yang saya terpaksa pilih. Sebenarnya, gambar ini dirakam jauh di tengah sungai. Namun, saya kesal kerana hasil gambar ini tidak menunjukkan sedemikian.

Masalah utama saya di sini ialah arus sungai yang agak deras yang menyebabkan sampan yang dinaiki pasangan ini sering dibawa arus ke tempat yang tidak sepatutnya. Sebenarnya, krew yang terlibat untuk sesi fotografi ini terdiri dari 7 orang. Krew yang terlibat ialah: Saya sebagai jurugambar, seorang koordinator (menyelaras lokasi, makanan, props, tatarias dan sebagainya), seorang pembantu jurugambar, seorang Lighting Man, seorang Assistant Lighting Man, seorang pendayung sampan dan seorang pemandu bot enjin. Kami menggunakan 2 buah sampan dan sebuah bot enjin. Saya memerlukan Lighting Man kerana pada asalnya, saya bercadang untuk merakam gambar menggunakan flash di waktu gelap senja, tapi, arus sungai terlalu deras pada waktu itu, lalu rancangan tersebut dibatalkan.

Sehari sebelum penggambaran, kami terlebih dahulu membuat tinjauan atau recce di sekitar Kuala Selangor. Kami mencari lokasi sungai yang sesuai, jeti, bot untuk disewa dan yang paling penting sekali – sampan tradisional! Setelah puas mencari, kami berjaya juga menjumpai tuan punya sampan yang sudi menyewakan sampannya.  Kemudian, kami mencari beberapa props yang sesuai seperti lampu minyak tanah dan mangkuk tingkat di pekan berhampiran.

Beberapa minggu sebelum itu, saya telah memcari idea konsep penggambaran dan membuat lakaran idea mengenai sesi fotografi ini. Setelah berbincang dengan subjek saya, mereka bersetuju dengan idea tersebut. Kemudian, kami berbincang pula tentang pakaian yang sesuai untuk penggambaran ini.

Kesimpulannya, untuk mendapatkan gambar yang kita inginkan, kadangkala memerlukan perancangan dan persediaan yang  rapi. Untuk tugasan ini, 80% masa terlibat adalah untuk persediaan, cuma 20% masa digunakan untuk penggambaran dan suntingan gambar.

Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM






Friday 8 March 2013

Macamana Saya Beli Buku Fotografi

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM



Walaupun buku fotografi agak mudah didapati di kedai-kedai buku, tetapi, buku-buku yang dijual adakalanya tidak menepati kehendak kita dari segi kualiti atau tajuk buku yang kita cari. Di sini saya ingin kongsikan bagaimana cara saya membeli buku fotografi.

Apabila saya ingin tahu atau belajar mengenai sesuatu tajuk dalam fotografi, mula-mula saya akan search kata carian untuk tajuk-tajuk buku yang berkenaan di dalam Amazon.com. Saya menggunakan Amazon.com untuk carian kerana di sini terdapat koleksi buku yang sangat banyak dari seluruh dunia. Setelah terjumpa tajuk buku yang saya cari dan minati, saya akan menyelidik dengan lebih terperinci dengan membaca kandungan ringkas buku tersebut dari laman web Amazon.com ini.


Jika saya dapati buku tersebut berkualiti dan menepati kehendak saya, saya cari pula tajuk buku tersebut di dalam laman web Kinokuniya Malaysia. Saya akan tahu samada buku tersebut ada dalam stok di Kinokuniya Malaysia di Suria KLCC. Kalau ada stok, saya akan terus ke sana dan membeli buku tersebut. Jika tiada stok atau saya tiada masa untuk ke Suria KLCC, maka saya akan terus beli secara online dari Amazon.com. Kalau beli secara online dari Amazon.com, saya perlu guna kad kredit dan penghantaran buku tersebut akan diterima dalam masa lebih kurang 10 hari. Saya pernah beberapa kali membeli buku dari Amazon.com dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.

Kinokuniya di Suria KLCC mempunyai koleksi buku fotografi yang banyak dan yang lebih penting, buku fotografi di sini lebih berkualiti berbanding kedai buku lain. Kebanyakan buku di Kinokuniya berbalut dengan plastik. Tetapi, jika anda ingin melihat bahagian dalam buku tersebut, anda boleh minta staf di service desk bukakan plastik tersebut untuk anda. Jangan buka sendiri plastik yang membalut buku tersebut kerana ianya adalah etika yang tidak betul dan tidak disukai oleh pekerja di kedai buku.

Seorang pembaca artikel ini di Facebook (Diyana Ab Rahman) pula telah memberi maklum balas bahawa beliau suka membeli buku di www.bookdepository.com kerana di sini harga bukunya lebih murah dan mereka menghantar buku yang dipesan ke seluruh dunia secara percuma!


Untuk melihat atau membeli buku secara online, sila ke - Amazon.com

Harap tips ini dapat membantu. Sila kongsikan pengalaman dan tips anda pula.


TO READ MORE ARTICLES IN ENGLISH VERSION, PLEASE CLICK HERE




Wednesday 6 March 2013

Kehebatan Kamera Kompak

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM


Pengenalan

Pada suatu ketika dahulu, kamera kompak hanya digunakan oleh orang kebanyakan untuk merakam gambar keluarga atau gambar aktiviti sekitar kehidupan mereka sahaja. Jurufoto profesional atau peminat fotografi tidak menggemari kamera kompak kerana kualitinya yang rendah dan keterbatasan fungsinya. Namun, kamera kompak kini telah banyak berubah dan dimajukan, lebih-lebih lagi dalam era perkembangan teknologi digital yang begitu canggih sekarang ini. Oleh sebab itu, kamera kompak kini mula diminati dan digunakan oleh peminat fotografi dan jurufoto profesional tertentu bagi merakam gambar yang tertentu.

Walaupun bersaiz kecil, kamera kompak mampu menghasilkan gambar yang cukup jelas walaupun tahap kualitinya tidaklah dapat menandingi kualiti gambar yang dihasilkan oleh kamera DSLR. Tetapi, harus diingat, adakalanya kualiti kejelasan gambar bukanlah satu keutamaan. Disebalik beberapa kekurangan yang dimiliki oleh kamera kompak, kamera jenis ini turut mempunyai berbagai kelebihan berbanding kamera DSLR.

Ciri-Ciri Kamera Kompak

Kamera kompak juga dikenali dengan nama point and shoot camera atau pocket camera. Kamera kompak dicipta agar orang ramai dapat merakam gambar dengan lebih mudah dan selesa. Oleh sebab itu, ianya dibuat dengan saiz yang kecil bersama fungsi yang ringkas lalu memudahkan pengguna.

Kamera kompak tidak beroperasi menggunakan reflex mirror dan pentaprism seperti yang digunakan oleh sistem kamera DSLR. Oleh itu, kamera kompak dapat dibuat dengan saiz yang lebih kecil dengan harga yang lebih rendah.

Tidak seperti kamera DSLR, lensa pada kamera kompak tidak boleh ditukar ganti. Namun, biasanya kamera kompak dilengkapi dengan lensa zoom yang sudah memadai untuk kegunaan biasa.

Kamera kompak kini sudah semakin canggih dan semakin berkualiti. Kamera jenis ini telah berjaya menarik minat jurufoto profesional apabila ia telah dibuat dengan ciri kawalan manual sepenuhnya dimana pengguna boleh mengawal aperture, shutter dan ISO secara manual. Dengan ini, dedahan cahaya (exposure) dapat dikawal dengan lebih tepat. Selain dari itu, kamera kompak yang berprestasi tinggi juga turut menawarkan ciri-ciri bertaraf kamera DSLR seperti kawalan fokus secara manual, aperture maksima yang bersaiz lebih besar, hotshoe untuk penggunaan flash tambahan, rakaman dalam format RAW, saiz sensor yang lebih besar dan sebagainya.

Kamera kompak berprestasi tinggi dibuat dengan berbagai ciri yang menyamai kamera DSLR. Pengguna kamera kompak ini boleh membuat kawalan manual untuk pelarasan aperture, shutter, ISO dan lain-lain lagi.
Kelemahan Kamera Kompak

Antara kelemahan utama kamera kompak ialah saiz sensornya. Buat ketika ini, sensor kamera kompak adalah masih jauh lebih kecil berbanding saiz sensor kamera DSLR. Oleh sebab itu, gambar yang dirakam oleh kamera kompak tidak sesuai dibesarkan ke saiz yang terlalu besar kerana kejelasan foto akan hilang. Saiz sensor yang kecil ini juga menyebabkan gambar yang dihasilkan mempunyai noise yang lebih ketara berbanding kamera DSLR, terutamanya apabila ISO tinggi digunakan dan apabila foto dilihat dalam saiz besar.

Foto ini dirakam menggunakan kamera DSLR bagi mendapatkan kejelasan foto yang maksima. Untuk rakaman foto pemandangan atau foto senibina seperti ini, kamera DSLR lebih sesuai digunakan kerana biasanya foto ingin dipaparkan di dalam saiz besar. Penggunaan kamera yang besar dan berat bukanlah menjadi masalah untuk merakam foto sebegini kerana jurufoto tidak perlu banyak bergerak memikul beban kamera. (Foto oleh Hasnuddin Abu Samah)
Tetapi, harus diingat, kelemahan ini bukanlah satu isu besar jika kita tidak bercadang untuk mempamerkan gambar dalam saiz yang terlalu besar. Satu lagi perkara yang perlu dipertimbangkan ialah – adakah foto dengan kejelasan maksima menjadi satu keutamaan bagi kita. Ini bergantung kepada jenis gambar yang dirakam dan tujuan foto tersebut dirakam. Contohnya, jika kita ingin merakam gambar untuk tujuan fotografi seni halus (fine art photography), adakalanya, faktor kejelasan gambar bukanlah satu keutamaan. Begitu juga jika kita ingin merakam gambar bagi dipamerkan di laman web dalam saiz yang kecil, kita tidak memerlukan resolusi yang terlalu tinggi untuk gambar yang dirakam – foto yang dihasilkan oleh kamera kompak sudah memadai.

Satu lagi kelemahan kamera kompak berbanding kamera DSLR ialah faktor kecekapan dan kecepatan kawalan kamera. Kamera kompak agak perlahan untuk dikendalikan, terutamanya untuk kawalan manual sepenuhnya. Ini kerana, saiz dan kedudukan butang kawalan pada kamera kompak tidaklah sebaik kamera DSLR. Jadi, untuk merakam gambar dan bekerja dengan pantas, kamera kompak tidak sesuai digunakan. Jika tidak, perkara ini tidaklah menjadi satu isu.

Kamera kompak juga ada sedikit kekurangan dari segi shutter lag dimana terdapat sedikit ‘kelewatan’ (dalam milisecond) diantara detik punat merakam kamera ditekan dan detik foto sebenar dirakam oleh kamera. Keadaan ini merupakan satu masalah serius untuk merakam gambar aksi atau gambar-gambar lain yang mementingkan ketepatan detik rakaman. Tetapi, kelemahan ini juga tidak menjadi masalah sekiranya kita ingin merakam gambar subjek tanpa begitu mementingkan ketepatan detik rakaman.

Kelemahan lain kamera kompak ialah, lensanya tidak boleh ditukar ganti seperti kamera DSLR. Jadi, pengguna kamera kompak terpaksa berpuas hati dengan pilihan sudut pandangan atau focal length yang terbatas. Namun, kamera kompak sekarang dilengkapi dengan zoom dalam jarak yang cukup panjang bermula dari sudut pandangan luas hinggalah ke sudut pandangan short telephoto (sudut pandangan yang agak sempit). Bagi kebanyakan penggunaan, focal length atau jarak zoom yang terdapat pada kamera kompak sudah mencukupi. Jadi, sekiranya bidang kerja anda tidak memerlukan lensa dengan focal length yang ‘luar biasa’, lensa zoom yang dipasang kekal pada kamera kompak adalah sudah cukup baik.

Kelebihan Kamera Kompak

Kelebihan utama kamera kompak ialah saiznya yang kecil lalu ianya juga adalah ringan untuk dibawa. Ciri ini mungkin tidak digemari untuk tugasan tertentu, tetapi ciri ini adalah amat bermanfaat apabila anda ingin merakam gambar dalam tempoh yang panjang atau apabila anda perlu banyak berjalan kaki. Apabila merakam gambar semasa pengembaraan, kamera kompak adalah amat bermanfaat kerana saiznya yang kecil dan beratnya yang tidak membebankan.

Foto petugas keretapi laju (Shinkansen) dirakam di Hiroshima, Jepun menggunakan kamera kompak. Kamera jenis ini amat sesuai digunakan ketika melancong atau mengembara di luar negara. (Foto oleh Hasnuddin Abu Samah)
Kamera kompak yang bersaiz kecil ini juga tidak begitu menonjol dan menarik perhatian orang disekeliling kita. Ciri ini amat bermanfaat untuk jurufoto yang merakam gambar di jalanan untuk street photography misalnya. Dengan menggunakan kamera kompak yang bersaiz kecil, kehadiran seseorang jurufoto itu kurang disedari atau tidak begitu dihiraukan, lalu membolehkan seseorang jurufoto itu merakam gambar subjeknya dengan lebih bersahaja. Dengan ciri ini, jurufoto juga akan lebih mudah untuk mendekati subjeknya. Saiz kamera kompak yang kecil ini merupakan satu kelebihan bagi tujuan tertentu.

Kelebihan lain bagi kamera kompak ialah, kamera ini berharga lebih murah berbanding kamera DSLR. Jika kita tidak memerlukan ciri-ciri tertentu pada kamera DSLR, mengapa perlu membelanjakan wang yang lebih untuk membeli kamera DSLR? Lebih baik membeli kamera kompak sahaja dengan harga yang lebih rendah, asalkan ianya dapat memenuhi keperluan kita. Sekiranya kita telah mempunyai kamera DSLR, kamera kompak elok dimiliki juga sebagai kamera sokongan (backup camera) atau sekadar kamera sampingan yang akan digunakan dalam keadaan tertentu.

Kamera kompak kini dibuat dengan ciri-ciri yang lebih baik dari masa ke semasa. Kamera kompak berprestasi tinggi atau high end compact camera terus dicipta dan diperbaharui dengan mempunyai berbagai ciri-ciri tambahan bagi merapatkan jurang diantara kamera kompak dengan kamera DSLR.

Aplikasi Kamera Kompak

Kita telah faham tentang ciri-ciri, kelemahan dan kelebihan kamera kompak. Perlu diberi perhatian di sini bahawa – kelemahan yang ada pada kamera kompak bukanlah satu kelemahan sebenarnya jika ciri tersebut tidak penting bagi tugasan atau keperluan tertentu. Contohnya, kelemahan kamera kompak yang mempunyai sensor bersaiz kecil bukanlah satu kelemahan langsung bagi jurufoto yang tidak bercadang untuk mempamerkan gambar dalam saiz besar. Jadi, kelemahan-kelemahan yang ada pada kamera kompak tidak perlu diambil kira jika ianya tidak menjadi masalah atau penghalang untuk kita. Fokuskan dan gunakan sepenuhnya kelebihan-kelebihan yang ada pada kamera kompak yang tidak terdapat pada kamera DSLR.

Artikel ini tidak bermaksud untuk menyatakan kamera kompak adalah lebih baik dari kamera DSLR. Cuma, apa yang ingin disampaikan ialah, kamera kompak mungkin lebih baik dan lebih sesuai digunakan berbanding kamera DSLR dalam situasi atau keperluan tertentu. Bagi kebanyakan peminat fotografi atau jurufoto profesional, kamera kompak hanya digunakan untuk tujuan tertentu dan dalam masa yang sama, kamera DSLR juga turut dimiliki bagi digunakan untuk merakam gambar dengan tujuan lain. Untuk berikutnya, mari kita perhatikan bagaimana kita boleh memanfaatkan sepenuhnya kelebihan yang ada pada kamera kompak.

Oleh kerana kamera kompak adalah ringan, ianya sesuai digunakan untuk merakam gambar dalam tempoh yang lama, terutamanya apabila kita perlu banyak bergerak atau berjalan kaki untuk merakam gambar. Contohnya apabila kita mengembara di luar negara sambil berjalan kaki di bandaraya yang besar.

Kamera ini juga sesuai digunakan apabila kita membuat aktiviti trekking di dalam hutan atau ketika mendaki gunung. Untuk aktiviti trekking sebegini, kita telah memang sedia menggunakan banyak tenaga untuk bergerak dan membawa beg galas dengan beban yang berat. Kita tidak ingin menambah lagi beban ini dengan membawa kamera yang berat seperti kamera DSLR. Jadi, kamera kompak sesuai digunakan untuk aktiviti sebegini. Namun, semuanya bergantung kepada keperluan anda. Jika anda amat perlukan kualiti foto dengan kejelasan yang terbaik, maka tidak dinafikan anda terpaksa membawa kamera DSLR.



Gambar dirakam di puncak Gunung Kinabalu menggunakan kamera kompak. Untuk mendaki gunung seperti ini memerlukan banyak tenaga dan sungguh memenatkan. Untuk itu, kamera kompak yang kecil dan ringan adalah amat sesuai digunakan dalam situasi ini. (Foto oleh Hasnuddin Abu Samah)
Kamera kompak adalah ringan disebabkan saiznya yang kecil. Kamera yang bersaiz kecil mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Kamera kompak yang bersaiz kecil tidak terlalu menonjol dan menarik perhatian orang lain. Ada sesetengah kerja fotografi yang memerlukan kita merakam gambar subjek manusia yang tidak kita kenali di tempat yang asing. Apabila kita merakam gambar dengan kamera kompak, orang lain tidak mengambil serius tentang kehadiran kita kerana kita tidak kelihatan seperti seorang jurufoto profesional, sebaliknya kita lebih kelihatan sebagai seorang pelancong atau sekadar sebagai seorang awam yang suka mengambil gambar.

Pernah terjadi seorang jurufoto akhbar profesional telah menyamar sebagai orang awam dengan membawa kamera kompak lalu dia dibenarkan masuk ke satu tempat larangan sedangkan jurufoto lain tidak dibenarkan masuk ke situ. Jurufoto yang menyamar tersebut telah berjaya merakam gambar yang baik hanya menggunakan kamera kompak sedangkan jurufoto lain yang menggunakan kamera DSLR tidak dibenarkan masuk dan langsung tidak dapat merakam apa-apa gambar.

Kamera kompak berharga lebih murah berbanding kamera DSLR. Jika anda meminati fotografi tetapi masih belum mampu memiliki kemera DSLR, anda boleh membeli kamera kompak dengan harga yang lebih rendah. Kamera kompak juga menawarkan berbagai ciri menarik yang sudah cukup untuk anda gunakan bagi memulakan penerokaan anda di dalam bidang fotografi. Untuk belajar asas fotografi seperti aperture, shutter, ISO, white balance, komposisi dan sebagainya, anda tetap boleh melakukannya dengan hanya menggunakan kamera kompak.

Oleh kerana harganya yang murah, kamera kompak juga sesuai dijadikan kamera kedua anda selain kamera DSLR yang telah dimiliki. Kamera kompak ini boleh dijadikan sebagai kamera sokongan (backup camera) sekiranya kamera DSLR anda rosak. Selain dari itu, walaupun anda telah memiliki kamera DSLR, kamera kompak yang dimiliki adalah lebih sesuai digunakan apabila anda ingin merakam gambar aktiviti keluarga atau ketika anda pergi mengembara misalnya.

Kamera kompak yang lebih murah ini juga selalu menjadi pilihan untuk jurufoto yang baru berjinak-jinak dalam fotografi bawah air (underwater photography) Ini kerana, underwater housing (bekas kedap air untuk melindungi kamera) untuk kamera kompak adalah jauh lebih murah dari underwater housing untuk kamera DSLR. Dengan menggunakan kamera kompak juga, risiko adalah lebih rendah jika berlaku kemalangan apabila underwater housing bocor lalu dimasuki air dan seterusnya merosakkan kamera yang digunakan.

Kamera kompak adalah lebih ringkas berbanding kamera DSLR. Ciri-ciri pada kamera kompak adalah lebih terbatas dan tidak secanggih kamera DSLR. Tetapi, bukan semua orang atau semua tugasan memerlukan ciri-ciri yang terlalu canggih. Adakalanya, kita hanya memerlukan kamera yang ringkas untuk merakam gambar.

Kamera kompak sesuai digunakan untuk anda berlatih merakam gambar dengan cara yang kreatif dan lebih bebas. Gambar yang kreatif adakalanya tidak mementingkan kawalan teknikal pada kamera yang terlalu canggih. Lagipun, apabila menggunakan kamera yang mempunyai terlalu banyak kawalan, kita akan terlalu risaukan tentang kawalan kamera lalu mengganggu fokus kita untuk menghasilkan foto yang kreatif atau berseni. Kamera kompak juga lebih ringan dan mudah dibawa. Jadi, ianya lebih selesa dibawa selalu dan dibawa kemana-mana sekadar untuk menjadikan anda kerap berlatih merakam gambar dan cuba bereksperimen dengan berbagai-bagai teknik kreatif sambil memantapkan kemahiran seni melihat (art of seeing)



Gambar dalam kategori fine art photography (fotografi seni halus) adakalanya tidak terlalu mementingkan kejelasan gambar, tetapi lebih mementingkan mesej, mood, komposisi dan sebagainya. Foto ini dirakam menggunakan kamera kompak tanpa memerlukan kejelasan yang terbaik. (Foto oleh Hasnuddin Abu Samah)
Kamera kompak yang ringkas ini juga sesuai digunakan sebagai kamera untuk tinjauan lokasi (recci) sebelum penggambaran sebenar dilakukan. Anda tidak memerlukan foto yang terlalu berkualiti ketika membuat tinjauan – foto yang dirakam oleh kamera kompak sudah memadai. Ketika membuat tinjauan juga, anda mungkin perlu banyak berjalan kaki, jadi, kamera DSLR akan cepat meletihkan dan mengurangkan fokus anda dalam tugasan membuat tinjaun tersebut.

Pendek kata, kamera kompak dengan teknologi terkini tidak harus dipandang rendah. Walaupun masih mempunyai beberapa kelemahan, kamera ini turut mempunyai kelebihan yang lebih baik berbanding kamera DSLR. Cuma, ia bergantung kepada tujuan penggunaan. Tidak dinafikan, untuk sesetengah tujuan, kamera kompak adalah jauh lebih baik atau lebih praktikal digunakan berbanding kamera DSLR. Kamera kompak kini masih dan terus diperbaiki dari masa ke semasa sesuai dengan perkembangan teknologi. Kita tidak tahu sejauh mana kamera kompak akan menyaingi kamera DSLR. Tetapi, apa yang pasti, ianya akan sentiasa menjadi bertambah baik dari masa ke semasa.


TO READ MORE ARTICLES IN ENGLISH VERSION, PLEASE CLICK HERE



Tuesday 5 March 2013

Fotografi dan Wang

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Buat duit dari fotografi bukan kerja senang. Tiada siapa akan berikan kita duit dengan mudah, kecuali jika kita memang benar-benar layak dan terbukti bagus. Ramai peminat fotografi berhasrat untuk menjana wang dari bidang fotografi kerana dikatakan – menjana wang dengan melakukan perkara yang kita minati adalah sungguh menyeronokkan. Kenyataan ini nampak sungguh menarik; semua orang pasti sukakannya. Tetapi malang sekali, kenyataan ini telah mengelirukan dan memperdayakan ramai orang, lalu ramailah yang tidak berpijak di bumi yang nyata. Jadi, apakah realitinya?


Studio fotografi milik Ikram Ismail ini boleh disewa oleh peminat fotografi. Untuk memiliki studio seperti ini bukan sahaja memerlukan belanja awal (setup) yang tinggi untuk pembelian peralatan, tetapi ia juga menuntut kos bayaran sewa dan penyelenggaraan secara bulanan. Jika anda mengimpikan untuk memiliki studio sendiri, eloklah pastikan dahulu bahawa anda berupaya memperolehi pendapatan yang stabil (foto oleh Ikram Ismail)
Tidak dinafikan, ada segelintir jurufoto yang memperolehi pendapatan lumayan disamping mengecap kepuasan dengan melakukan kerja yang diminatinya. Sekadar sebagai contoh, mungkin ada jurufoto yang amat meminati fotografi hidupan liar dan telah berjaya menampung hidupnya melalui bidang yang dicintainya ini. Mari kita namakan jurufoto ini dengan nama Sulaiman. Hidup Sulaiman kelihatan indah dan menjadi idaman ramai orang. Sulaiman tidak perlu menempuh kesesakan lalu lintas untuk pergi ke pejabat setiap hari; sebaliknya, Sulaiman selalu melakukan tugasan di tempat-tempat eksotik yang hanya mampu dimimpikan oleh kebanyakan orang lain. Tugasan sebagai jurufoto hidupan liar juga memberi peluang kepada Sulaiman untuk menyaksikan sendiri berbagai keajaiban hidupan liar di habitat mereka, dimana perkara ini hanya dapat disaksikan oleh orang lain melalui kaca televisyen atau menerusi gambar semata-mata. Sulaiman juga mempunyai kamera, lensa dan peralatan fotografi yang hebat-hebat belaka; sesuai dengan dirinya sebagai seorang jurufoto bertaraf profesional. Karya foto Sulaiman juga seringkali terpampang di dalam majalah, di dalam buku dan kerap juga dipamerkan di pameran-pameran fotografi yang berprestij. Dengan semua ini, Sulaiman juga memperolehi pendapatan yang lumayan dari kerjayanya (sekurang-kurangnya inilah apa yang disangkakan) Apa yang lebih menarik ialah, Sulaiman menjalani hidupnya dengan melakukan kerja yang amat diminatinya dan dibayar untuk melakukannya!

Gaya hidup dan kerjaya seperti Sulaiman memang menjadi idaman ramai orang, terutamanya bagi jurufoto yang meminati fotografi hidupan liar. Tetapi, disebalik semua keindahan kerjaya yang kelihatan ideal ini, tidak ramai yang tahu realitinya. Memang telah menjadi lumrah; kita sering diceritakan mengenai perkara yang baik dan positif sahaja. Tujuannya adalah baik – agar kita mendapat inspirasi dan motivasi untuk turut berjaya seperti Sulaiman. Tetapi, tanpa mengetahui realiti di sebalik kehidupan Sulaiman, peminat fotografi yang baru berjinak-jinak di dalam bidang ini akan tenggelam dalam mimpi.

Apa yang digambarkan mengenai gaya hidup Sulaiman mungkin benar atau mungkin hanya separuh benar. Apakah agaknya kenyataan yang mungkin tidak benar itu? Benarkah Sulaiman memperolehi pendapatan lumayan hasil dari menjadi jurufoto hidupan liar? Mungkin ianya benar. Tetapi, siapa tahu, mungkin juga sebenarnya Sulaiman mempunyai sumber pendapatan lain seperti pendapatan dari belian saham atau seumpamanya. Atau mungkin juga Sulaiman sebenarnya adalah anak kepada seorang tauke balak yang kaya raya! Sulaiman tentu tidak akan mendedahkan kepada kita bahawa beliau sebenarnya dibiayai oleh bapanya. Bagaimana pula dengan kamera mahal dan lensa-lensa besar yang dimiliki oleh Sulaiman? Mungkin beliau sememangnya memiliki peralatan tersebut hasil dari kerja fotografinya. Tetapi, mungkin juga sebenarnya peralatan tersebut adalah peralatan terpakai yang dibeli dengan harga murah. Atau mungkin juga peralatan tersebut dipinjam dari seorang rakan baiknya. Tidak kiralah apa pun, samada Sulaiman anak tauke balak atau Sulaiman meminjam kamera orang lain, Sulaiman tidak bersalah. Apa yang salah ialah orang lain yang berangan ingin menjadi seperti Sulaiman, tetapi tidak tahu realiti sebenarnya.


Gambar seperti ini mungkin mempunyai nilai seni, tetapi tidak nilai komersial. Apa pun, gambar seperti ini dirakam bukan untuk wang, tetapi untuk kepuasan peribadi. (foto oleh Hasnuddin Abu Samah)
Seterusnya, mari kita buat andaian lain yang lebih positif pula. Katakanlah Sulaiman memang memperolehi pendapatan lumayan dari bidang fotografi hidupan liar. Beliau adalah seorang yang berjaya dalam bidang fotografi dan beliau juga adalah seorang yang berjaya dari aspek kewangan. Beliau berasal dari keluarga miskin dan beliau banyak berdikari sehingga berjaya. Senario ini nampak lebih hebat dan Sulaiman memang patut dijadikan idola. Lalu, ramailah yang bercita-cita untuk menjadi seperti Sulaiman – seorang jurufoto hidupan liar yang hidupnya penuh dengan pengembaraan sambil memperolehi pendapatan lumayan. Tetapi, nanti dulu!

Kehidupan Sulaiman sekarang memang nampak hebat. Tetapi, tahukah kita betapa sukarnya jalan yang telah ditempuh oleh Sulaiman untuk sampai ke tahap ini? Adakah kita cukup tabah dan benar-benar mempunyai keghairahan seperti Sulaiman untuk terus kuat menghadapi berbagai dugaan dalam bidang ini? Tanpa minat yang mendalam, cabaran yang datang akan menjadi beban yang tidak akan terpikul. Hanya minat dan kesungguhan yang akan meringankan cabaran yang mendatang.

Ketika ini Sulaiman hidup senang. Sambil goyang kaki pun, wangnya terus masuk melalui royalti dari jualan buku-buku hidupan liar yang pernah diterbitkannya. Tetapi, pernahkah kita terfikir atau tertanya, berapa lamakah Sulaiman pernah hidup susah di awal pembabitannya di dalam bidang ini? Suatu waktu dahulu, mungkin Sulaiman pernah ditipu oleh penerbit buku, pernah berhutang keliling pinggang, pernah tinggal di rumah yang sempit dan sebagainya. Sanggupkah kita melalui kesusahan yang sama?

Sulaiman yang hebat ini telah menjejakkan kaki ke hampir seluruh pelusuk dunia bagi merakam gambar haiwan-haiwan di habitat mereka. Sulaiman telah menjelajah ke segenap hutan rimba, gunung-ganang, gurun dan lautan. Ini bukan percutian, tetapi tugasan. Beliau telah banyak berkorban dan mengambil risiko. Berkorban masa berjauhan dengan orang yang tersayang dalam tempoh masa yang lama dan mengambil risiko tinggi berhadapan dengan bahaya dan penyakit di tempat yang asing lagi terpencil. Apa pula yang sanggup kita korbankan dan pertaruhkan?

Sulaiman yang terkenal ini dilihat sebagai seorang yang sentiasa menempuh pengalaman menarik dalam kerjayanya. Ramai orang yang ingin merasai pengalaman seperti beliau. Tentu sekali Sulaiman juga gembira kerana berpeluang merasai pengalaman unik yang tidak diperolehi oleh orang lain. Tetapi, sebagai seorang jurufoto profesional, Sulaiman memikul tanggungjawab yang besar dan bekerja dengan berbagai tekanan. Tidak seperti peminat fotografi yang merakam gambar burung di hujung minggu untuk kegiatan hobi mereka.

Demikianlah realiti hidup Sulaiman – seorang jurufoto hidupan liar. Jika anda ingin menjadi seperti Sulaiman, bersedialah dan berusahalah. Jika anda tidak sanggup menghadapi cabaran dan tidak sanggup berkorban, inilah masanya untuk memikirkan semula impian anda. Sesungguhnya, kerjaya ini bukan untuk semua orang. Tentu ada bidang fotografi lain yang lebih sesuai untuk anda. Logiknya, tidak ada satu pun perkara atau kerjaya yang baik belaka. Setiap keindahan dan kesenangan, perlu dibayar dengan kesukaran dan pengorbanan. Ingin ditegaskan sekali lagi, kenyataan yang mengatakan ‘dibayar untuk melakukan kerja yang kita minati’ tidaklah seindah khabar dari rupa. Seperti ungkapan Inggeris – it’s too good to be true. Jika ia sebagus itu, tentu ada sesuatu yang tersembunyi di sebaliknya yang kita tidak tahu. Jika ianya begitu bagus, mengapa tidak semua orang memilikinya? Jika semua orang ingin mendapatkannya, tentulah akan wujud persaingan yang amat hebat, lalu seseorang itu perlu berusaha gigih untuk berjaya.

Kisah Sulaiman sebagai seorang jurufoto hidupan liar adalah simbolik kepada apa jua bidang fotografi yang kita minati yang ingin kita jadikan kerjaya atau sumber pendapatan. Mungkin ianya bukan fotografi hidupan liar, tetapi bidang lain dalam fotografi yang kita minati seperti fotografi pemandangan, fotografi fesyen, fotografi kewartawanan, fotografi seni halus dan sebagainya. Untuk menjadikan bidang-bidang ini sebagai hobi tidak ada masalah. Tetapi jika anda ingin menjadikannya sebagai punca pendapatan utama, ianya perlu difikirkan masak-masak. Walau bagaimana pun, tidak ada perkara yang mustahil yang tidak dapat kita capai asalkan kita sanggup bekerja keras. Buatlah keputusan mengikut kebolehan dan kesanggupan diri kita sendiri.

Kesimpulan dari kisah Sulaiman ialah, hobi anda dalam fotografi hidupan liar misalnya mungkin hanya patut kekal sebagai hobi kerana tidak semestinya sesuatu hobi itu sesuai dijadikan sumber pendapatan utama. Hobi dan kerjaya adalah sesuatu yang amat berbeza dan hakikatnya ia tidak boleh jalan selari. Hobi dibuat untuk kepuasan diri sendiri semata-mata tanpa ada sebarang tekanan dari sesiapa. Sementara itu, kerjaya adalah sesuatu kerja yang dibuat untuk memenuhi permintaan pasaran atau pelanggan sehingga membolehkan kita menerima bayaran. Di dalam kerjaya atau perniagaan, wujud tekanan masa, tekanan kos dan tekanan dari pihak atasan. Kerjaya perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab, bukan sekadar suka-suka untuk memenuhi masa lapang seperti kita melakukan hobi.

Walaupun begitu, anda masih boleh menjana pendapatan dari bidang fotografi. Mungkin anda minat merakam gambar pemandangan (atau apa-apa subjek sekalipun) Tetapi, tidak semestinya anda perlu merakam gambar pemandangan untuk menjana pendapatan sekiranya subjek ini tidak menjanjikan pendapatan yang berbaloi untuk anda (mungkin ada jurufoto lain yang berjaya menjana pendapatan dari melakukan fotografi pemandangan, tetapi, mungkin ia tidak sesuai untuk anda) Kekalkan minat anda merakam gambar pemandangan sebagai hobi sahaja. Sebaliknya, untuk menjana pendapatan, cari bidang fotografi lain yang lebih menguntungkan dan lebih sesuai dengan diri anda.

Kita mungkin akan rasa teruja apabila mengetahui ada seorang jurufoto telah berjaya menjual sekeping gambar pemandangan yang dirakamnya dengan harga RM5,000! Lalu, kita pun lekas-lekas ingin menjadi seperti beliau. Tetapi, satu perkara yang kita terlepas pandang ialah, beliau telah bergiat dalam bidang ini selama lebih dari 5 tahun secara serius dan ini adalah kali pertama gambarnya berjaya dijual semahal itu. Jadi, sebenarnya, nilai RM5,000 itu adalah sangat-sangat kecil jika dibandingkan dengan pelaburan masa dan pelaburan wang yang telah beliau lakukan. Ya, sekurang-kurangnya dia tetap mendapat wang sebagai pendapatan sampingan. Tetapi, angka itu tidak cukup baik, lebih-lebih lagi jika anda ingin menjadikan fotografi sebagai sumber pendapatan utama.

Dari aspek perniagaan, untuk menjana pendapatan, kita tidak semestinya buat apa yang kita minat semata-mata, tetapi kita harus minat buat apa saja yang boleh memberikan keuntungan asalkan ianya tidak menyalahi undang-undang. Jika kebetulan bidang perniagaan itu adalah satu bidang yang kita minati, maka ianya adalah satu bonus besar untuk kita. Namun, kita bebas melakukan apa saja yang kita suka untuk mendapat kepuasan, tetapi belum tentu kita akan berjaya menjana pendapatan yang lumayan.

Saya seringkali ditanya oleh peminat fotografi baru – bagaimanakah cara mudah untuk menjana pendapatan dari fotografi? Jawapan saya – buat duit dari fotografi bukan suatu perkara mudah. Ianya adalah satu perkara yang berbeza dari fotografi itu sendiri. Buat duit dari fotografi adalah bukan mengenai fotografi lagi. Ianya adalah mengenai keusahawanan. Disamping mesti mempunyai ilmu dan kemahiran dalam fotografi, kita juga perlu ada ilmu dan kemahiran dalam bidang perniagaan jika kita ingin benar-benar berjaya menjana wang dari fotografi.

Ilmu dalam perniagaan itu sendiri adalah amat luas sekali. Ianya mencakupi penjenamaan, pemasaran, jualan, strategi harga, kualiti produk, kawalan kos material, kecekapan kerja, pengurusan kewangan, akaun, pentadbiran, pengurusan tenaga kerja dan sebagainya. Tetapi, semua ini boleh dipelajari. Pengalaman akan mendewasakan kita. Usahanya mungkin perlu lebih, tetapi hasilnya amat berbaloi.

Jadi, anda perlu pastikan dan pilih keutamaan anda. Adakah anda ingin melakukan sesuatu untuk kepuasan atau adakah anda ingin menjana pendapatan? Anda mungkin boleh dapat kedua-duanya sekali, tetapi ianya adalah amat sukar. Apabila keutamaan anda adalah untuk menjana pendapatan, lupakan dulu mengenai kepuasan berkarya. Apabila anda telah buat keputusan untuk menjana pendapatan, perkara pertama yang perlu disoal ialah – bidang fotografi apakah yang paling besar potensinya untuk mendapat keuntungan? Dalam beberapa bidang yang telah dikenal pasti, pilihlah bidang yang paling sesuai dengan diri anda. Lakukannya dengan bersungguh-sungguh atas sebab keusahawanan, bukan atas sebab kepuasan berkarya semata-mata.

Bidang fotografi yang paling popular dan dianggap ‘mudah’ untuk menjana pendapatan ialah fotografi perkahwinan. Ianya amat popular terutama sekali di kalangan peminat fotografi yang baru menceburkan diri dalam bidang ini. Sememangnya permintaan untuk khidmat fotografi perkahwinan adalah tinggi. Namun begitu, persaingan juga adalah sengit sekali. Fotografi perkahwinan diminati oleh jurufoto yang ingin mencari duit lebih kerana bidang ini hanya memerlukan peralatan minima, kemahiran minima dan modal yang minima. Persaingan adalah sengit dalam sektor bajet rendah untuk fotografi perkahwinan disebabkan kelayakan minima yang diperlukan untuk berniaga dalam bidang ini. Namun, untuk pakej fotografi bagi pelanggan yang berbajet besar, persaingannya tidaklah begitu sengit kerana pada sektor ini, seseorang jurufoto itu perlu betul-betul cemerlang dalam penghasilan karyanya, cemerlang dalam pemasaran dan sebagainya. Apa pun, memang telah terbukti, telah ada ramai jurufoto yang telah berjaya menjana pendapatan lumayan dari bidang fotografi perkahwinan. Mereka ini tidak menganggap fotografi perkahwinan sebagai hobi mereka. Ia adalah kerjaya yang dilakukan dengan komitmen yang tinggi. Bidang ini bukanlah bidang glamour atau berstatus tinggi (selalunya) jika dibandingkan dengan bidang fotografi lain; tetapi, ianya memberikan pulangan yang baik dari segi kewangan.


Walaupun fotografi perkahwinan nampak mudah, ia sebenarnya memerlukan kerja keras beserta pengetahuan dan kemahiran yang tinggi baik dalam bidang fotografi mahupun dalam bidang strategi perniagaan jika seseorang itu ingin menjana pendapatan yang lumayan dari bidang ini. (foto oleh Hasnuddin Abu Samah)
Selain dari fotografi perkahwinan, bidang fotografi lain yang popular sebagai penjana pendapatan ialah perkhidmatan fotografi majlis rasmi, fotografi komersial, fotografi potret, fotografi produk, fotografi fesyen, fotografi dokumentari, fotografi microstock dan sebagainya. Ada diantara bidang yang dinyatakan ini nampak lebih hebat dan lebih glamour berbanding bidang lain. Lalu wujudlah jurufoto yang cuba untuk menguasai bidang tersebut. Disebabkan bidang itu adalah bidang yang diminatinya dan ia memberi kepuasan kepada jurufoto tersebut, maka adakalanya dia sanggup menerima tugasan dengan bayaran rendah; malah ada yang sanggup melakukannya secara percuma! Dia tidak kisah walau tidak dapat duit asalkan dia mendapat kepuasan. Lalu, ini akan memberi kesan buruk terhadap nilai pasaran bagi perkhidmatan tersebut. Ada dua perkara yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah ini. Pertama, kita perlu bersaing secara sihat dari segi kualiti perkhidmatan atau produk, bukannya bersaing dengan melancarkan perang harga. Penyelesaian kedua ialah, cuba elakkan bidang fotografi yang ramai jurufoto minat melakukannya kerana kepuasan peribadi semata-mata. Bidang seperti ini selalu mempunyai masalah perang harga. Kecuali jika anda berjaya membezakan diri anda dari pesaing-pesaing lain dari segi kualiti atau jika anda ‘bermain’ di sektor tertentu yang tidak sensitif kepada faktor harga.

Perang harga dan pembunuh pasaran memang menjadi salah satu masalah dalam bidang perniagaan fotografi kerana fotografi adalah merupakan hobi kebanyakan orang. Lalu, penghobi ini rela merakam gambar secara percuma, sedangkan ada jurufoto lain yang cuba mencari rezeki dari bidang ini secara sepenuh masa.

Tidak seperti kerjaya profesional yang lain seperti peguam, arkitek atau doktor perubatan; untuk bergelar peguam, arkitek atau doktor perubatan, seseorang itu perlu melepasi syarat-syarat kelayakan yang ketat. Dalam bidang-bidang ini juga tidak ada masalah besar dari segi perang harga kerana tidak ada orang yang melakukan kerjaya peguam, arkitek atau doktor sebagai hobi dan kepuasan semata-mata.

Tidak ada gunanya kita menyalahkan penggiat hobi. Mereka mempunyai objektif yang berbeza dari jurufoto profesional atau usahawan fotografi. Apa yang lebih penting ialah, usahawan fotografi sendiri perlulah bijak menangani masalah ini dan perlu bijak mencari peluang-peluang baru untuk berjaya.

Kita dapat lihat sekarang ini, begitu ramai orang yang meminati bidang fotografi berikutan perkembangan pesat dalam teknologi kamera digital. Oleh kerana semakin ramainya peminat fotografi, maka makin ramai juga jurufoto yang cuba menjana pendapatan dari bidang ini. Oleh itu, persaingan adalah begitu sengit sekali. Lebih parah lagi apabila ada jurufoto yang bersaing secara tidak sihat dengan menawarkan harga yang sangat rendah. Lebih memburukkan keadaan apabila keadaan ekonomi dunia tidak begitu memberangsangkan buat ketika ini.


Kewujudan ramai peminat fotografi sekarang ini adalah petanda positif bahawa industri fotografi adalah satu industri yang mempunyai potensi besar dari sudut ekonomi. Walaupun wujud persaingan, ia adalah perkara normal apabila sesuatu industri itu sedang berkembang maju. Persaingan sihat diperlukan, individu yang terbaik pasti akan berjaya. (foto oleh Hasnuddin Abu Samah)
Kemunculan ramai jurufoto sambilan yang cari makan dalam industri fotografi ini memang agak memeningkan kepala bagi sesetengah jurufoto yang menjadikan fotografi sebagai sumber pendapatan utama mereka. Tetapi, jika dilihat dalam sudut yang positif, fenomena ini mempunyai kebaikan dan kesan yang baik dari sudut lain. Kebaikan pertama ialah; dengan persaingan sihat yang wujud, setiap jurufoto akan berusaha dengan lebih gigih bagi menghasilkan karya dan perkhidmatan yang terbaik. Dengan itu, bidang fotografi akan maju ke tahap yang lebih tinggi dalam tempoh masa yang lebih cepat. Kebaikan kedua ialah, pelanggan akan mempunyai pilihan yang lebih luas dengan harga yang lebih kompetitif (asalkan bukan harga rendah yang tidak munasabah). Harga kompetitif bukan bermakna kerugian bagi pihak jurufoto, tetapi ianya merupakan satu kebaikan dimana jurufoto akan menjadi lebih bijak menangani isu kos dan kecekapan kerja agar harga berpatutan dapat ditawarkan disamping memperolehi keuntungan yang optima.

Dalam konteks yang lebih luas, lambakan jurufoto sekarang ini adalah petunjuk positif bahawa industri fotografi adalah satu industri yang besar, mempunyai permintaan yang tinggi dan sentiasa berkembang maju. Ini bermakna, ada banyak peluang perniagaan yang belum diterokai sepenuhnya dalam industri ini. Cuma, kita jangan sempitkan peluang perniagaan itu hanya dengan cara merakam gambar semata-mata. Bila kita melihat fotografi sebagai satu industri besar, kita harus faham bahawa, fotografi bukan sekadar mengenai jurufoto sahaja.

Apabila ramai orang meminati fotografi, ianya memberi kesan kepada keseluruhan industri. Untuk mengembangkan bidang fotografi, semua bidang lain yang berkaitan dengan fotografi perlu turut berkembang maju. Dengan erti kata lain, semua bidang yang berkaitan dengan fotografi juga akan turut menawarkan peluang perniagaan yang luas. Maksudnya, apabila wujudnya ramai jurufoto, maka akan wujud juga permintaan yang tinggi terhadap jualan kamera, jualan aksesori fotografi, pembelajaran fotografi, majalah fotografi, buku fotografi, kedai mencetak foto, perkhidmatan photo retouching, kedai membuat album, kedai bingkai gambar, khidmat sewaan studio dan sebagainya. Kita boleh merebut peluang ini dengan menawarkan perkhidmatan atau menjalankan perniagaan dalam mana-mana sektor yang berkaitan fotografi.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat permintaan yang tinggi terhadap jualan kamera dan peralatan fotografi. Kita dapat lihat ada banyak kedai-kedai menjual kamera muncul di mana-mana sahaja. Malah, kedai kamera secara online juga turut muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Walaupun terdapat berpuluh kedai kamera di Malaysia, adakalanya masih ada juga barang yang dicari tidak ada dijual di kedai mereka. Ini menunjukkan bahawa masih ada ruang dan peluang terutamanya dalam bidang pengkhususan (niche) untuk sektor ini. Bidang ini adalah dalam kategori peruncitan (retailing) Mungkin anda tidak meminati bidang peruncitan, tetapi, sekurang-kurangnya ia masih berkisar mengenai fotografi. Dengan minat dan pengetahuan anda dalam fotografi, ia akan menjadi satu nilai tambah bagi perniagaan menjual kamera dan peralatan fotografi.


Program seminar atau bengkel fotografi seperti ini mendapat permintaan yang baik di kalangan peminat fotografi yang dahagakan ilmu dalam bidang ini. Tetapi, apa yang penting, setiap program yang dianjurkan mestilah berkualiti dan dijalankan dengan penuh tanggungjawab, bukan untuk mengaut keuntungan semata-mata. (foto oleh Hatta/Avicenna Studio)
Sementara itu, sektor pembelajaran fotografi juga turut sama berkembang pesat selari dengan bertambahnya peminat fotografi di negara ini. Kita boleh lihat sekarang, berbagai institusi pengajian tinggi telah menawarkan pengajian berkaitan bidang fotografi untuk peringkat sijil, diploma mahupun ijazah sarjana muda, samada secara separuh masa atau sepenuh masa. Antara institusi pengajian tinggi yang dimaksudkan ialah UiTM, UNISEL, UNIMAS, UTMSPACE, UIA , Open University Malaysia, Limkokwing, KDU, SEGi dan beberapa lagi. Selain dari insititusi pengajian tinggi, ada lebih banyak lagi syarikat atau individu yang menganjurkan kursus dan lain-lain bentuk pembelajaran fotografi di seluruh Malaysia. Sektor ini amat memerlukan pensyarah dan jurulatih yang berkemahiran. Siapa lagi yang lebih layak jika bukan dari kalangan peminat fotografi yang berilmu dan berkemahiran?

Oleh kerana wujudnya permintaan yang tinggi terhadap informasi dan ilmu fotografi, sektor penerbitan bahan fotografi juga telah berkembang maju. Kita boleh lihat kini, dalam masa yang singkat telah muncul beberapa majalah fotografi baru bagi menyokong perkongisan maklumat dalam bidang ini. Begitu juga dengan buku fotografi – semakin banyak buku dengan berbagai tajuk pengkhususan fotografi telah diterbitkan untuk peminat-peminat fotografi. Apa yang lebih menarik lagi, kini buku-buku fotografi dan majalah fotografi telah mula ditulis dalam Bahasa Malaysia dan diterbitkan oleh syarikat di Malaysia! Ini menunjukkan wujudnya permintaan yang baik dalam sektor ini berikutan perkembangan dalam industri fotografi itu sendiri. Sektor ini amat memerlukan penulis yang bukan sahaja berkemahiran menulis, tetapi perlu juga mempunyai pengetahuan dalam bidang fotografi. Jadi, selain menjadi jurufoto, peminat fotografi kini juga boleh mempertimbangkan untuk menulis artikel atau menulis buku untuk berkongsi ilmu pengetahuan disamping menjana pendapatan.


Kini ada berbagai buku bertemakan fotografi telah mula ditulis dalam Bahasa Malaysia bagi menampung permintaan peminat fotografi di negara ini. Semakin banyak buku baru dijangka akan diterbitkan dalam masa yang terdekat ini. Sektor ini juga turut menawarkan peluang bagi peminat fotografi bagi memperolehi pendapatan hasil dari menulis buku. (foto oleh PTS NetMedia)
Sebenarnya ada banyak lagi bidang berkaitan fotografi yang menawarkan peluang kerja atau peluang perniagaan bagi sesiapa sahaja yang bijak mencari, mengesan dan merebut peluang tersebut. Syaratnya – jangan hanya melihat fotografi dalam skop yang kecil. Fikir secara kreatif, fikir mengenai pengkhususan dan jadi pakar dalam bidang tersebut agar kita dapat bersaing atau lebih baik lagi jika kita dapat menjadikan persaingan adalah tidak relevan.

Artikel ini saya tulis berdasarkan pengalaman saya selama lebih dari 10 tahun sebagai usahawan dalam bidang fotografi. Sumber pendapatan utama saya sekarang adalah melalui 2 perniagaan ini – iaitu Adan Cameraworks (khidmat fotografi dan videografi) dan FOTOTEACHER.COM (pusat latihan fotografi) Sebuah lagi perniagaan yang baru diwujudkan oleh kami ialah perniagaan menjual aksesori fotografi dengan pengkhususan dalam kelengkapan fotografi analog.

Apa yang saya tulis di dalam artikel ini adalah pendapat dan pandangan saya berdasarkan pengalaman saya sendiri. Terimalah apa yang anda rasakan baik untuk anda.


TO READ MORE ARTICLES IN ENGLISH VERSION, PLEASE CLICK HERE











Sunday 3 March 2013

Jurufoto di Jepun yang Gila-Gila dan Selamba

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

  
Lihat telatah seorang jurufoto di Jepun yang merakam foto potret di tengah kesibukan orang ramai melintas jalan di Shibuya, Jepun. Shibuya Crossing (lintasan pejalan kaki di Shibuya) adalah lokasi yang amat terkenal dan dikatakan sebagai lintasan pejalan kaki yang paling sibuk di dunia!