Friday, 1 March 2013

Orang Lama

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM


Tanpa yang lama, tiada yang baru. Kita pernah dengar ungkapan ini. Dulu, saya tidak begitu faham dan tidak ambil pusing kenyataan ini. Tetapi, setelah bersembang dengan beberapa orang lama, barulah saya mendapat sedikit pengertian maksudnya.

Kita lihat sekarang ini, dalam zaman fotografi digital, ramai jurufoto baru yang hebat muncul dalam senario fotografi di Malaysia. Dengan adanya media seperti blog dan Facebook, jurufoto baru ini lebih mudah menjadi popular, malahan mempunyai peminat setia mereka sendiri. Ini adalah satu perkembangan yang baik. Ini menunjukkan fotografi adalah satu bidang yang semakin berkembang dan diterima di Malaysia.

Tetapi, dalam keghairahan itu, janganlah kita lupa kepada jasa-jasa dan kehebatan jurufoto yang terdahulu. Jurufoto lama inilah yang kita gelar ‘otai’ atau ada sesetengahnya telah layak digelar jurufoto veteran. Saya lebih suka menggelar mereka sebagai ‘master photographer’.

Jurufoto lama memang tidak begitu popular kerana pada zaman mereka tiada Facebook. Kita tidak begitu mengenali mereka. Tetapi, itu tidak bermakna karya foto mereka tidak hebat. Selain dari kehebatan ilmu fotografi, mereka juga mempunyai kisah perjuangan yang sangat menarik untuk kita hayati sebagai pedoman.

Fotografi profesional dan komersial telah bertapak di Malaysia sejak tahun 70an lagi. Malah ada jurufoto yang telah bergiat secara profesional sejak tahun 60an. Jurufoto dahulu tidak semewah jurufoto sekarang. Peralatan yang digunakan amatlah asas. Pendapatan yang diperolehi pun tidaklah sebanyak mana. Sukar untuk mendapatkan info mengenai fotografi pada zaman itu. Sukar juga untuk membeli peralatan dan aksesori kamera pada masa itu.

Jadi, apa kaitan dan peranan jurufoto lama ini kepada kita?

Sesungguhnya, tanpa mereka bersusah payah dalam fotografi pada zaman mereka, maka tiadalah fotografi untuk kita seperti yang kita nikmati sekarang ini. Mereka telah meneroka dan merintis jalan fotografi di Malaysia. Mereka telah berkorban untuk menguasai ilmu fotografi dan telah mengajarkan ilmu fotografi kepada generasi selepas mereka. Mereka telah meletakkan ‘standard’ dan mendidik minda masyarakat Malaysia untuk menghargai fotografi. (tahukah anda, pada zaman awal fotografi, ada artis merakam foto untuk ‘cover album’ di kedai gambar biasa sahaja tanpa khidmat jurufoto profesional?) Jurufoto-jurufoto lama ini jugalah yang telah membuka peluang perniagaan lain sehingga wujudnya banyak kedai yang menjual kamera dan berbagai aksesori fotografi. Kepakaran mereka juga telah menyumbang kepada wujudnya institusi pengajian tinggi yang telah melatih graduan-graduan dalam bidang fotografi dan bidang lain yang berkaitan.

Kemana perginya jurufoto-jurufoto lama ini sekarang? Ada diantara mereka yang masih aktif. Ada yang separa aktif; lebih kepada memberi sokongan dari belakang. Ada juga diantara mereka yang telah bersara dari fotografi sepenuhnya dan menyerahkan tanggungjawab membentuk dunia fotografi kepada generasi kita.

Mereka telah bersusah payah. Kita telah menikmati hasilnya. Merekalah yang telah menebas belukar membina laluan. Kita melaluinya kini dengan lebih selesa. Berterima kasihlah kepada jurufoto yang terdahulu. Teruskan perjuangan yang telah mereka mulakan. Dunia terus berputar. Hasil dari perjuangan kita sekarang ini akan dinikmati oleh generasi selepas kita pula.



Foto pelajar jurusan fotografi semasa outing mereka di Cameron Highlands pada tahun 1980. Ada diantara mereka kini merupakan jurufoto pengiklanan, jurufoto komersial, pensyarah fotografi, pemegang Ijazah Sarjana dalam bidang fotografi dari universiti luar negara, professor dalam bidang seni, dekan di fakulti seni IPTA dan ada juga yang telah bersara. Sumber foto dari laman Facebook Encik Ahmad Saman.


TO READ MORE ARTICLES IN ENGLISH VERSION, PLEASE CLICK HERE








No comments:

Post a Comment