Showing posts with label malaysia. Show all posts
Showing posts with label malaysia. Show all posts

Friday, 1 March 2013

Orang Lama

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM


Tanpa yang lama, tiada yang baru. Kita pernah dengar ungkapan ini. Dulu, saya tidak begitu faham dan tidak ambil pusing kenyataan ini. Tetapi, setelah bersembang dengan beberapa orang lama, barulah saya mendapat sedikit pengertian maksudnya.

Kita lihat sekarang ini, dalam zaman fotografi digital, ramai jurufoto baru yang hebat muncul dalam senario fotografi di Malaysia. Dengan adanya media seperti blog dan Facebook, jurufoto baru ini lebih mudah menjadi popular, malahan mempunyai peminat setia mereka sendiri. Ini adalah satu perkembangan yang baik. Ini menunjukkan fotografi adalah satu bidang yang semakin berkembang dan diterima di Malaysia.

Tetapi, dalam keghairahan itu, janganlah kita lupa kepada jasa-jasa dan kehebatan jurufoto yang terdahulu. Jurufoto lama inilah yang kita gelar ‘otai’ atau ada sesetengahnya telah layak digelar jurufoto veteran. Saya lebih suka menggelar mereka sebagai ‘master photographer’.

Jurufoto lama memang tidak begitu popular kerana pada zaman mereka tiada Facebook. Kita tidak begitu mengenali mereka. Tetapi, itu tidak bermakna karya foto mereka tidak hebat. Selain dari kehebatan ilmu fotografi, mereka juga mempunyai kisah perjuangan yang sangat menarik untuk kita hayati sebagai pedoman.

Fotografi profesional dan komersial telah bertapak di Malaysia sejak tahun 70an lagi. Malah ada jurufoto yang telah bergiat secara profesional sejak tahun 60an. Jurufoto dahulu tidak semewah jurufoto sekarang. Peralatan yang digunakan amatlah asas. Pendapatan yang diperolehi pun tidaklah sebanyak mana. Sukar untuk mendapatkan info mengenai fotografi pada zaman itu. Sukar juga untuk membeli peralatan dan aksesori kamera pada masa itu.

Jadi, apa kaitan dan peranan jurufoto lama ini kepada kita?

Sesungguhnya, tanpa mereka bersusah payah dalam fotografi pada zaman mereka, maka tiadalah fotografi untuk kita seperti yang kita nikmati sekarang ini. Mereka telah meneroka dan merintis jalan fotografi di Malaysia. Mereka telah berkorban untuk menguasai ilmu fotografi dan telah mengajarkan ilmu fotografi kepada generasi selepas mereka. Mereka telah meletakkan ‘standard’ dan mendidik minda masyarakat Malaysia untuk menghargai fotografi. (tahukah anda, pada zaman awal fotografi, ada artis merakam foto untuk ‘cover album’ di kedai gambar biasa sahaja tanpa khidmat jurufoto profesional?) Jurufoto-jurufoto lama ini jugalah yang telah membuka peluang perniagaan lain sehingga wujudnya banyak kedai yang menjual kamera dan berbagai aksesori fotografi. Kepakaran mereka juga telah menyumbang kepada wujudnya institusi pengajian tinggi yang telah melatih graduan-graduan dalam bidang fotografi dan bidang lain yang berkaitan.

Kemana perginya jurufoto-jurufoto lama ini sekarang? Ada diantara mereka yang masih aktif. Ada yang separa aktif; lebih kepada memberi sokongan dari belakang. Ada juga diantara mereka yang telah bersara dari fotografi sepenuhnya dan menyerahkan tanggungjawab membentuk dunia fotografi kepada generasi kita.

Mereka telah bersusah payah. Kita telah menikmati hasilnya. Merekalah yang telah menebas belukar membina laluan. Kita melaluinya kini dengan lebih selesa. Berterima kasihlah kepada jurufoto yang terdahulu. Teruskan perjuangan yang telah mereka mulakan. Dunia terus berputar. Hasil dari perjuangan kita sekarang ini akan dinikmati oleh generasi selepas kita pula.



Foto pelajar jurusan fotografi semasa outing mereka di Cameron Highlands pada tahun 1980. Ada diantara mereka kini merupakan jurufoto pengiklanan, jurufoto komersial, pensyarah fotografi, pemegang Ijazah Sarjana dalam bidang fotografi dari universiti luar negara, professor dalam bidang seni, dekan di fakulti seni IPTA dan ada juga yang telah bersara. Sumber foto dari laman Facebook Encik Ahmad Saman.


TO READ MORE ARTICLES IN ENGLISH VERSION, PLEASE CLICK HERE








Wednesday, 27 February 2013

Light Trail


Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Apabila merakam foto menggunakan slow shutter sekitar 1 second atau lebih perlahan, kita boleh mendapatkan kesan jalur cahaya (light trail) di dalam foto yang dirakam apabila terdapat kenderaan dengan lampu dinyalakan bergerak di hadapan kamera kita. Foto sebegini sesuai dirakam pada waktu malam atau lebih baik lagi jika dirakam pada waktu senja kerana pada waktu senja, kita masih boleh mendapatkan warna biru pada langit.

Oleh kerana foto ini dirakam menggunakan slow shutter, kita perlu meletakkan kamera pada permukaan yang stabil untuk mengelakkan gegaran pada kamera. Lebih mudah lagi jika kita mempunyai tripoduntuk tujuan ini.

Apabila merakam foto dengan slow shutter, elakkan dari menekan shutter release button dengan jari anda bagi mengelakkan gegaran pada kamera. Gegaran pada kamera ini boleh mengakibatkan foto anda menjadi kabur. Untuk ini, anda boleh gunakan self timer bagi merakam foto atau lebih baik lagi jika anda menggunakan wireless remote release untuk merakam foto tanpa menyentuh kamera anda.

Saya merakam foto di atas di sebuah selekoh jalan di Cameron Highlands pada waktu senja. Saya merakam lebih kurang 20 keping gambar bagi mendapatkan foto terbaik. Untuk mendapatkan kesanlight trail yang baik, kita perlu menunggu kenderaan yang sesuai melintas di hadapan kamera. Adakalanya light trail yang dihasilkan tidak begitu menarik kerana terlalu banyak kenderaan atau terlalu kurang kenderaan lalu di hadapan kamera kita. Jadi, kita perlu menunggu masa yang sesuai dan merakam banyak foto.

Untuk foto di atas, setting yang digunakan adalah: ISO 100, aperture f/13 dan shutter speed 15 seconds.Setting yang dinyatakan hanyalah sebagai info dan panduan sahaja. Anda perlu ubahsuai setting anda berdasarkan kepada keadaan pencahayaan dan setting lain yang digunakan semasa anda merakam foto anda nanti.

Diharap tips ini dapat membantu atau memberi inspirasi kepada anda untuk merakam foto dengan light trail. Fikirkan lokasi menarik untuk anda rakam foto sebegini dan cuba rakam foto light trail atau night scene anda sendiri. Selamat mencuba!


TO READ MORE ARTICLES IN ENGLISH VERSION, PLEASE CLICK HERE